Satu skim yang baik untuk memiliki rumah pada kos permulaan yang lebih rendah, kata peserta forum awam FundMyHome

Forum awam FundMyHome yang dimoderasikan oleh Pengerusi EdgeProp Sdn Bhd Datuk Tong Kooi Ong telah menawarkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana skim itu berfungsi dan telah berjaya memenangi lebih banyak sokongan daripada orang ramai, menurut mereka yang hadir pada hari ini.

Forum tersebut yang diadakan di Hotel Sheraton Petaling Jaya telah menarik lebih 550 orang peserta, di mana seorang peserta yang bernama Rama mengatakan bahawa skim ini amat bagus bagi membantu pembeli rumah buat pertama kali menjejak kaki di dalam arena hartanah dengan kos pemulaan yang rendah.

“Ini adalah satu skim yang bagus dalam membantu golongan muda untuk memiliki rumah. Dan sebagai seorang perunding hartanah selama bertahun-tahun, saya tidak melihat skim ini sebagai ancaman kepada industri [agensi hartanah].

“Saya percaya skim ini dapat menurunkan harga jualan hartanah untuk pembeli rumah kali pertama dan ini adalah berita baik untuk semua, termasuk kami agen hartanah kerana kami menghadapi kesukaran menjual hartanah disebabkan oleh harga hartanah yang tinggi,” katanya kepada EdgeProp.my selepas forum.

Seorang lagi peserta, David Lim, yang mendakwa bahawa dia telah melabur dalam hartanah selama 20 tahun, berpendapat FundMyHome adalah satu “skim hebat” untuk pemilik rumah kerana mereka dapat pemilikan penuh sebuah rumah dengan hanya 20% daripada harga rumah dalam lima tahun pertama.

“Ini adalah satu urus janji yang hebat untuk pembeli rumah kerana risikonya rendah bagi mereka. Jika harga rumah turun selepas tahun kelima, mereka boleh membelinya dengan lebih murah. Jadi, apa yang paling buruk boleh berlaku pada mereka?” tanya beliau.

C M Lai, yang juga menghadiri sesi itu, bersetuju bahawa FundMyHome adalah satu skim yang menarik. Beliau juga menambah bahawa sesi hari ini banyak menjelaskan peranan tiga pihak berkepentingan utama – pemaju, institut dan pembeli.

“Saya datang ke sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang skim ini dan bagaimana ia berfungsi. Sebagai pembeli, ia adalah skim yang menarik, walaupun anda masih perlu membayar balik pinjaman peribadi, jika anda memilih untuk menggunakannya untuk bayaran pendahuluan sebanyak 20%. Walau bagaimanapun, mendapatkan pinjaman peribadi adalah lebih mudah daripada mendapatkan pinjaman perumahan bank terutama sekali jika anda baru saja memasuki dunia pekerjaan” katanya.

“Ia juga lebih mudah untuk mendapatkan kawan dan keluarga menjadi penjamin pinjaman peribadi anda kerana jumlahnya juga tidak besar. Secara harfiah, anda boleh memiliki rumah walaupun anda berkerja sebagai penjaja yang tidak boleh mengemukakan penyata kewangan untuk mendapatkan pinjaman perumahan bank, ataupun seorang graduan baru yang baru sahaja memulakan pekerjaan pertamanya dengan gaji RM3,000 sebulan,” katanya.

Diperkenalkan oleh EdgeProp, FundMyHome membolehkan seseorang untuk membeli hartanah yang dipaparkan di FundMyHome.com dengan membayar hanya 20% daripada harga hartanah.

Baki 80% daripada kos harta akan disumbangkan oleh institusi yang mengambil bahagian, yang akan berkongsi pulangan daripada perubahan nilai hartanah di masa depan.

Tempoh pegangan adalah selama lima tahun yang bermaksud pada penghujung tahun kelima, pembeli rumah perlu memilih sama ada untuk menjual, ataupun memiliki harta tersebut (dengan membayar baki 80% daripada rumah berdasarkan nilai pasaran) melalui pinjaman perumahan bank atau membiayai semula unit hartanah tersebut di FundMyHome.

CIMB dan Maybank Group merupakan institusi kewangan yang mengambil bahagian buat masa sekarang dan sebanyak sembilan pemaju perumahan menawarkan lebih kurang 1,000 unit kediaman yang berharga di bawah RM500,000 kepada individu yang layak di https://www.fundmyhome.com/.

Platform FundMyHome ini telah dilancarkan pada 4 November 2018 di dalam sebuah majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.