Skim FundMyHome + DepositKu dilancarkan untuk memudahkan pemilikan rumah di kalangan pembeli rumah kali pertama golongan B40

SEMENYIH (Feb 20): Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini telah mengumumkan skim perintis untuk memudahkan pemilikan rumah di kalangan golongan B40. Dikenali sebagai skim FundMyHome + DepositKu, inisiatif ini membolehkan pembeli rumah kali pertama di bawah FundMyHome mendapat kelonggaran untuk mendapatkan pinjaman sehingga RM30,000, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang melancarkan skim perintis itu pada hari ini.

“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa Apartment Harmoni di Eco Majestic, Semenyih telah dipilih sebagai projek perintis untuk FundMyHome + DepositKu. Ini adalah cadangan EdgeProp untuk membantu mereka yang berasa sukar untuk membeli rumah, “kata Zuraida.

Skim ini dibuka kepada pembeli rumah pertama Malaysia dalam kumpulan B40 untuk membeli rumah berharga RM300,000 dan ke bawah dari platform FundMyHome. Kelulusan tertakluk kepada pemeriksaan akhir oleh kementerian.

Platform FundMyHome, yang dibina oleh EdgeProp Sdn Bhd (EdgeProp), telah dilancarkan pada bulan November tahun lalu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FundMyHome menyatukan pembeli rumah pertama dan institusi dalam hubungan yang saling menyokong antara satu sama lain.

Di bawah FundMyHome, pembeli membayar 20% daripada harga pembelian untuk memiliki rumah tanpa gadai janji bank dan bayaran balik bulanan. Baki 80% daripada kos hartanah disumbangkan oleh institusi yang mengambil bahagian, yang juga akan berkongsi pulangan daripada perubahan nilai rumah pada masa depan.

Walaupun ia tidak menggantikan cara tradisional yang digunakan oleh orang ramai untuk membeli rumah, FundMyHome menawarkan peluang untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan tidak layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan tradisional dari bank untuk memiliki sebuah rumah yang selesa di kejiranan yang kondusif.

“Sejak pelancarannya, lebih daripada 7,000 pengguna telah mendaftar di platform FundMyHome. Walau bagaimanapun, isu yang paling biasa yang dihadapi oleh ramai pembeli rumah ini ialah ketidakupayaan mereka untuk menyediakan bayaran 20% yang diperlukan, “kata pengerusi EdgeProp Sdn Bhd Datuk Tong Kooi Ong dalam ucapannya.


Oleh itu, FundMyHome + DepositKu adalah penyelesaian yang dicadangkan oleh EdgeProp kepada kerajaan untuk menangani kebimbangan ini.

Lebih daripada 20 pembeli telah membeli rumah mereka di bawah skim FundMyHome-DepositKu setakat ini. Ketika pelancaran, YB Puan Hajah Zuraida telah memberikan kunci replika untuk rumah baru kepada beberapa pembeli rumah tersebut.

Di bawah skim FundMyHome, pembeli rumah yang ingin membeli rumah berjumlah RM307,000 perlu membayar 20% daripada harga belian atau RM61,400 untuk memiliki rumah tersebut. Baki 80% (RM245,600) akan dibiayai oleh institusi.

Dengan FundMyHome – DepositKu, pembeli rumah yang sama kini boleh memohon pinjaman sebanyak RM30,000 dari Kerajaan untuk membantu pembayaran 20% yang diperlukan. Dengan ini, pembeli rumah hanya perlu membayar RM31,400.

Jika pembeli layak untuk diskaun bumiputera sebanyak 7% (RM21,490), maka dia hanya perlu membayar RM9,910 untuk memiliki rumah tersebut.

Datuk Tong Kooi Ong, pengerusi EdgeProp berkata,”Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh pembeli rumah kali pertama untuk menyediakan dana yang diperlukan untuk membeli rumah. Inisiatif pinjaman ini merupakan evolusi semulajadi FundMyHome yang membantu mengurangkan halangan kemasukan  untuk membeli rumah, dan pada masa yang sama, membolehkan mereka untuk membina ekuiti rumah mereka”

Tambah beliau, “Kami akan terus berinovasi ke arah matlamat kami untuk memudahkan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah.”

*Artikel ini ditulis oleh Rachel Chew untuk EdgeProp.my